
|
KATA-KATA ALUAN PENGERUSI YAYASAN PENGAMAN MALAYSIA Alhamdulilah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnianya Yayasan Pengaman Malaysia (PENGAMAN) telah berjaya ditubuhkan. PENGAMAN telah ditubuhkan pada 12 Mei 2011 sebagai sebuah NGO yang berorientasikan matlamat yang menggabungkan kerjasama di antara pesara pegawai kanan polis, pertubuhan-pertubuhan kebajikan pesara polis dan para pemimpin NGO tempatan seiring menyokong segala usaha murni kerajaan dalam menjaga keamanan dan keharmonian Negara. Visi PENGAMAN adalah untuk mencapai kesejahteraan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keselamatan manakala misi PENGAMAN pula ialah memperkaya ekosistem keselamatan Negara dengan tumpuan kepada kesejahteraan pesara PDRM dan rakyat. Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) PENGAMAN seringkali juga memberikan cadangan dan juga buah fikiran yang bernas untuk disampaikan kepada kerajaan demi menjaga keamanan Negara yang kita kecapi. Selain daripada pesara polis, PENGAMAN juga turut memberikan tumpuan kepada bakal-bakal pesara, anggota,dan anak-anak warga PDRM yang masih berkhidmat mahupun yang telah besara dalam usaha membantu menjaga kebajikan PDRM. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan bersama diantara PENGAMAN dan juga PDRM. Antara program yang telah dilaksanakan ialah Kursus Peralihan Bakal-Bakal Pesara PDRM, Kursus Keibubapaan untuk warga PDRM, Kursus Dekad Kecemerlangan Akademik Anak-anak Polis (DAKAP) dan kursus Anak Remaja Berwawasan (AKRAB) yang diadakan untuk setiap kontinjen diseluruh Malaysia. Diharapkan dengan bantuan daripada pihak kerajaan, program-program bermanfaat ini akan dapat diteruskan lagi dan program-program lain dapat dirancang pada masa mendatang. Selain daripada itu, PENGAMAN juga telah melakukan alternatif lain dalam menjaga kebajikan PDRM seperti membuat pelancaran kutipan sumbangan ikhlas bagi membantu warga PDRM yang terlibat dengan bencana banjir. Terima kasih diucapkan diatas segala bantuan dan juga kerjasama daripada mereka yang terlibat. Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi melayari laman web PENGAMAN. Semoga apa yang dipaparkan dalam laman ini akan dijadikan sebagai sumber rujukan dan akan mendapat input yang berguna untuk dikongsikan bersama masyarakat diluar sana. Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada semua warga PDRM terutamanya Pesara PDRM untuk menyokong segala usaha murni yang telah dilakukan bagi merealisasikan visi dan misi PENGAMAN demi kejayaan kita bersama seiring menjaga keamanan Negara. “Bulat air air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Yang Benar, TAN SRI NORIAN MAI Pengerusi, Yayasan Pengaman Malaysia
|













